ilashukri.blogspot.com

Saturday 5 May 2018

[ Bab 37 ] Dia Bukan Skandal


KHAIRIL Izhan rasa seronok tinggal di kampung Umaira. Lebih-lebih lagi bila ayah Umaira mengajaknya ke kebun buah miliknya. Walaupun tidaklah sebesar mana kebunnya tapi pokok-pokok yang ditanam sentiasa memberikan hasil untuk keluarga. Teringat sewaktu dia mengembara ke Australia, pernah dia bekerja sebagai pemetik epal di sana.
            
Tidak ada masalah untuk Khairil menyesuaikan diri di kampung Umaira. Kerana sejak belasan tahun dia suka mengembara melihat negara orang. Dia juga pernah bekerja sebagai gembala kambing, pemerah susu, semua itu pengalaman yang amat berharga buat dirinya. Dia belajar erti kesusahan setiap kali dia mengembara menimba ilmu.
            
Khairil juga suka bila Haji Noordin sentiasa membawanya ke sana ke mari. Hinggakan suatu pagi Bob merungut, bila Haji Noordin tidak mengendahkan dia.
            
“Ayah ni, sejak ada abang Khai, dah lupa nak ajak Bob keluar minum. Selalu kalau nak pergi mana-mana, Bob lah yang diajak.” Bob tarik muka. Lucu pula Khairil melihatnya.
            
“Ialah, Bob dah hari-hari dengan ayahkan, abang ni baru ni nak manja dengan ayah.”
            
Manja dengan ayah? Sedap bunyinya. Selama ni, Khairil hanya bermanja dengan uncle George, suami aunty Mariam. Dengan ayahnya dia jarang bersama. Sewaktu kecil, setiap kali dia ketakutan, atau menangis bila pulang dari sekolah kerana dibuli kawan-kawan, dia akan memeluk uncle George, mengadu padanya, bercerita tentang kepayahannya di sekolah. Pada Khairil, uncle George lah superhero nya.
            
Sepanjang dia tinggal dengan keluarga Umaira, tidak sekalipun Haji Noordin mahupun Hajah Hasmah bertanya tentang keluarganya. Dan Khairil juga tidak pernah membuka mulut hendak bercerita. Dia awalnya hendak juga memberitahu, neneknya pernah tinggal di Johor Bahru. Dia ada juga teringin hendak membuka cerita tentang salasilah keluarganya, yang mungkin akan membuatkan dia lebih disayangi oleh keluarga Umaira. Namun niatnya itu dia pendam sahaja, dia mahu jadikan ianya surprise buat Umaira dan keluarganya.
            
Punggungnya dilabuh ke atas birai katil. Bingkai gambar Umaira yang sedang tersenyum cantik bersama ibunya, diambil. Ditatap lama buat menghilang rasa rindu yang menebal. Sedang apakah Umaira sekarang, moga Allah sentiasa melindungi kekasih hatinya itu.

“Sabar..” Tangan seseorang menepuk perlahan bahunya dan mengusap mesra.
            
Uncle?”
            
“Rindu ya?”
            
Malunya. Adoi, jadi lelaki jiwa kena kuat Khairil Izhan.
            
Mana tidaknya, rasa sudah hampir 15 minit dia menatap gambar Umaira yang terletak elok di dalam frame di atas meja sisi katil. Gambar yang menjadi penemannya setiap malam. Sungguh dia tidak perasan yang ayah Umaira memerhatikan gelagatnya.
            
“Imam Harun kata, kalau uncle tak nak bermenantukan Khai, dia terlebih sudi nak ambil Khai jadi menantu dia.”
            
Begitu ya. Nampaknya dia telah memenangi hati Imam Harun. Sejak dia di kampung itu, ada juga anak-anak gadis yang tersengeh-sengeh padanya. Setiap kali dia menemankan ayah Umaira mengeteh di warung Pak Jonet, ada sahaja yang datang menyapa. Memang mereka keluar bersama adik-adik Umaira yang tidak kurang juga dari segi rupa, tapi dia tahu ada mata yang sentiasa memerhatikan dia.
            
Hailah, siapa yang tak nak mengurat jejaka kacak dan kaya seperti dia. Aduh, jangan perasan sangatlah Khairil Izhan oi.
            
“Imam Harun kata lagi, sejak Khai bersolat di masjid, ramai pulak Jemaah terutama perempuan, Alhamdulillah penuh masjid. Ramai yang nak dengar tazkirah.”
            
“Ishk, tak akanlah uncle. Harap-harap kalau Khai dah balik KL nanti, masjid masih penuh, bukan kerana Khai tapi sebabkan kesedaran dalam diri masing-masing.”

Dari dalam bilik mereka melangkah ke ruang tamu. Ibu Umaira dan adik-adik Umaira sedang leka menonton tv. Namun sebaik ayah Umaira mengambil duduk, suara tv diperlahankan.
            
“Semalam Umaira telefon.”
            
“Umaira telefon?” Tidak sabar rasa hati hendak tahu.
            
“Uncle tahu dia sedang sakit sekarang ni.”
            
“Umaira sakit?” Umaira sakit? Umaira sakit? Pertanyaan itu berulang difikiran.
            
“Dia juga sedang sakit rindu. Esak tangisnya sudah menceritakan apa yang terbuku di dalam hatinya. Umaira tak kuat, katanya. Khai, kami sekeluarga, termasuk Along, Angah dan Uda semua dah setuju dan kami merestui hubungan Khai dengan Umaira. Kami tahu, Khai seorang yang baik dan kami yakin, Khai ikhlas dengan Umaira. Khai mampu bimbing Umaira, mampu menjadi Imam pada Umaira, satu-satunya permata dalam keluarga kami. Uncle letak semuanya pada Khai. Kalau Khai serius, hantarlah rombongan meminang dan Uncle sendiri akan walikan Umaira buat Khai.”
            
Sebak hatinya mendengar kata-kata ayah Umaira. Anggukkan yang ibu Umaira berikan menambahkan lagi rasa sebak di dalam hatinya, dan tanpa silu dia terus bangun dan duduk melutut di depan ayah Umaira. “Terima kasih uncle, Khai janji akan jaga Umaira bagai menjaga nyawa Khai sendiri.”
            
“Esok, uncle izinkan Khai berjumpa dengan Umaira di Kuala Terengganu. Khai tentu tahu dia dekat manakan? Pergilah pujuk hati dia, dan kembalikan anak gadis uncle yang ceria dan petah bercakap tu.”
            
Ya, esok genap seminggu Khairil di rumah keluarga Umaira. Genap seminggu juga dia hilang. Tidak sekalipun dia on handphone miliknya, keduanya. Dia tidak mahu jika ahli keluarganya dapat mengesan dia di mana. Dengan teknologi sekarang, senang sahaja mereka hendak tahu lokasinya.
            
Esok, ah pastinya dia sudah tidak sabar hendak menunggu matahari terbit. Dia tidak sabar hendak berjumpa dengan pujaan hatinya itu.
            
“Nanti mak cik nak bekalkan dia sambal jawa. Khai tolong bawakan ya.”
            
“Nak bawa uncle dengan aunty sekalipun Khai sanggup, inikan sambal jawa.” Khairil sudah tidak sabar.
            
“Malam ni ada kenduri kat masjid. Kita makan kat masjid sajalah ya. Imam Harun sebok nak suruh Khai azan kat masjid. Nanti dah balik KL entah bila Khai nak datang lagi.”
            
Sungguhlah sudah seminggu dia tinggal di kampung Umaira. Sedar tak sedar dia sudah hampir mengenali ahli keluarga dan juga jiran sekampung Umaira. Bob sudah pastilah tourist guide nya yang terbaik. Setiap kali mereka keluar bersama, dan di mana sahaja ada kenangan dengan Umaira pasti dia akan bercerita.
            
Dan di antara kenangan itu, ada satu yang kenangan yang sangat Khairil Izhan bersungguh hendak mendengarnya. Cerita tentang arwah atok Umaira yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah orang kaya.
            
“Dulu Kak Umaira memang nak sangat tinggal dengan atok, sangguplah bergaduh dengan kami.” Hafiz bercerita. Dia yang dilahirkan kembar dengan Luqman, memiliki paras rupa yang sangat seiras. Buat masa ini pada pandangan Khairil, hanya tahi lalat di hujung kening kiri Hafiz yang membezakan wajahnya dengan Luqman. Mungkin bila sudah lama bersama, dia akan dapat melihat perbezaan antara keduanya.
             
“Asal cuti sekolah dia sebok nak tinggal dengan atok.” Luqman menambah.
            
“Alasannya nak teman atok dengan nenek, tapi sebenarnya suka nak mengintai cucu orang kaya tu. Siapa entah namanya.”
            
“Budak muka ketat! Yes!” Luqman berteriak riang. Akhirnya mereka dapat merungkai persoalan teman lelaki misteri Nurin Umaira yang sering dijadikan alasan menolak pinangan.
            
Mereka semua tertawa, tanpa sedar siapakah gerangan sebenarnya budak muka ketat itu. Dan Khairil Izhan tentu saja tidak mahu bertanya lanjut, risau rahsia akan terbongkar.
            
Suboh esok, Haji Noordin bercadang untuk bersolat Jemaah sahaja di rumah bersama keluarganya. Jadi dia sudah berpesan pada Khairil untuk siap-siap bersalaman dan memohon maaf pada Imam Harun, juga Jemaah masjid yang sudah mengenalinya andai ada kekurangan dan tersilap kata.
            
Khairil rasa bersyukur dipertemukan dengan keluarga Umaira yang sangat bersederhana dan sentiasa menjaga adab. Sungguh benarlah, perbuatannya yang lalu sangat tidak disukai ayah Umaira, dan sudah menjatuhkan maruah dan nama baik bekas guru itu.
            
Malam menjadi sangat panjang buat Khairil menunggu siang. Hatinya sudah tidak sabar hendak terus memandu ke Kuala Terengganu, walaupun dia tahu, yang dia tidak pernah memandu ke Kuala Terengganu sebaik pulang ke Malaysia. Apa susahnya, Waze ada, GPS pun ada. Jika diizikankan Allah, dia pasti akan dapat bertemu Umaira.
            
Tunggu abang ya, sayang.

            
Bisik hatinya gatal. Dan dia ketawa sendiri. 


, ,

No comments:

Post a Comment