ilashukri.blogspot.com

Monday 5 February 2018

[ Bab 30 ] Dia Bukan Skandal



“Umaira!” Jeritannya bukan tidak cukup kuat untuk didengari. Beberapa orang di sekeliling sudah menoleh pandang ke arahnya. Namun mungkin kerana Umaira sudah berlalu di Balai Berlepas, sebab itulah Umaira tidak mendengar jeritannya.
            
Khairil menundukkan wajahnya. Tangannya meraba tengkuk yang tegang. Ah, kenapalah banyak sangat dugaan yang menimpa. Dia terlalu cintakan Umaira, dia tidak pernah main-main dengan perasaannya.
            
Semalaman dia menunggu di hadapan rumah sewa Umaira, hinggakan dia terlelap di dalam kereta. Namun dia tidak nampak tanda-tanda Umaira atau Juita pulang ke rumah sewa mereka. Dan pagi ini dia bergegas ke airport bila akhirnya Juita memberitahu Umaira akan menaiki kapal terbang ke Sibu. Untuk apa Umaira ke Sibu? Kenapa Umaira mesti mengikut kata syarikat? Mereka boleh ke Thailand dan berkahwin di sana. Umaira boleh terus menjadi isterinya yang sah dan mereka boleh hidup bahagia di Malaysia. Tak perlu nak larikan diri. Lama kelamaan, tentu sahaja mommy akan setuju dan merestui perkahwinan mereka.
            
Sakit kepala Khairil dibuatnya.
            
“Assalamualaikum..” Seseorang memberi salam. Suara lelaki. Khairil mengangkat wajahnya. Menjawab salam perlahan. “Waalaikumussalam.”
            
“Khai.. Khairil Izhan ke ni?” Siapa pula lelaki ni? Segak orangnya, berkumis tipis, nampak baik sahaja orangnya, namun dari segi rupa Khairil jauh lebih hensem. Aduh, Khairil saat macam inipun masih nak membanding.
            
Yes I am Khairil Izhan.” Khairil memang sangat kekok hendak menyebut saya. Dia lebih gemar menggunakan kata ganti diri I dan YOU.
            
“Khairil Izhan, CEO baru Mega Holdings? Anak billionaire Tan Sri Sufrie?”
            
Ishk siapa lelaki ni? Soalan macam dia nak culik Khairil saja. Khairil dah penat ni, dia letih, sekarang inipun dia rasa dah tak mampu nak berdiri.
            
“Ya. You ni siapa? Sorry, I tak kenal you.” Diapun tak tahu kalau tuturnya kurang bersopan. Tapi itulah sekarang ini otaknya gagal berfungsi dengan tepat, dia dah macam nak pengsan keletihan. Dari petang semalam, sebutir nasi atau setitik airpun belum menjengah tekaknya.
            
“Kalau ni, kau kenal tak?” Satu tumbukkan tepat mengenai bibir dan pipi Khairil. Khairil yang memang sudah lemah dek kerana tak makan dan sakit kepala memikirkan Umaira, jatuh tersungkur ke lantai. Rahangnya sakit. “Aduhhh..” Dia mengaduh perlahan. Jadi anak lelaki kena kuat. Walau kena tumbuk sekalipun jangan nampak lemah. Tak akanlah kena tumbuk sekali dah jatuh tersungkur, Khairil bukan tidak ada ilmu pertahankan diri.
            
“Apasal kau tumbuk aku?” Suaranya lemah namun dia cuba untuk bangun. Dek kerana adegan tumbuk itu beberapa orang menghampiri. Pekerja airport juga. Namun Khairil cuba berlagak hero, dengan menyatakan dia tak apa-apa. Dia sekarang ini hanya nak tahu lelaki itu siapa, itu sahaja. Tak akanlah lelaki baik-baik nak tumbuk orang tanpa sebab.
            
“Ya Allah, Farid! Kenapa tumbuk orang ni?” Seorang wanita sebaya mommy datang menerpa ke arahnya. Dia dipapah ke kerusi yang berdekatan. Orang ramai yang mengerumun sudah bersurai. “Maaf ya nak. Anak mak cik tu dah gila agaknya.” Khairil lihat wanita itu mengeluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Dan kemudian terus sahaja mengesat perlahan darah di bibir Khairil. Kenapa wajah wanita ini seperti Umaira ya? Redup matanya, kulitnya, malah senyuman di bibirnya itu. Ah, Khairil berhalusinasi.
            
“Apa hal nya ni?”
            
Dua orang lelaki pula menghampiri. Khairil tersengeh kelat. Dah macam drama rasanya. Siapa pula pak cik dan lelaki muda ini yang mungkin tua sedikit dari Khairil.
            
“Inilah dia CEO Mega Holdings yang bawa lari Umaira tu ayah. Dia nilah yang sebabkan kakak kena larikan diri.” Okay, tadi si ibu dan kini ayahnya pula. Yang seorang lagi, abangnya ke? Tapi kenapa nama Umaira ada disebut?
            
“Ini ke Khai?”
            
“Ialah, dia nilah Khairil Izhan, kalau Along nak tahu.” Lelaki yang menumbuknya itu masih bercekak pinggang. Kau tumbuk aku waktu aku tak bersedia. Cubalah sekali lagi, ingat aku tak ada Judo? I’ve black belt you know?
            
“Ya Rabbi kalaupun dia Khairil Izhan yang dengan kakak tu, tapi kenapa kamu tumbuk dia Angah? Dah kakakpun sama menggatalkan? Kalau kakak tak ikut, tak akan jadi semua ni. Kenapa tak kamu tampar saja kakak semalam? Kamu lepaskan marah kamu kat dia kenapa?”
            
“Kalau dia tak mulakan ayah, tak akanlah kakak nak jatuh cinta pada dia. Dia yang pikat Umaira kan?” Tonasi suara yang keras itu buat hati Khairil mendidih mendengarnya.
            
Namun sekarang ni Khairil cuba hadam apa yang dihadapannya. Yang menumbuknya itu Angah. Yang seorang lagi, Along, dan yang itu Ayah dan yang di sebelahnya pula Ibu. Ah, mereka keluarga Umaira. Ya, Umaira ada enam adik-beradik lelaki. Dia dah kenal dua darinya. Seorang memang nampak garang, tak pasal-pasal dia dah kena penumbuk. Jadi dia redha bila bakal abang iparnya menumbuk dia. Alah, bukannya sakit sangat.
            
Kini semua mata memandang ke arah Khairil. Seolah menunggu penjelasan darinya. Liur cuba ditelan perlahan, sakit tekaknya, beberapa kali dia membetulkan duduk rahangnya. Kepala sangat pening sekarang ini, jangan pitam sudahlah. Hilang macho nanti.
            
“Khai..” Lelaki yang dipanggil Along mendekatinya.
            
“Maafkan dia ya. Dia memang cepat naik baran kalau hal melibatkan Nurin Umaira. Biar saya perkenalkan diri. Saya Mohammad Haris, abang sulong Nurin Umaira Mohd Noordin. Khai kenalkan adik Along tu, dia kerja di Mega Holdings, kawan baik Juita, dan gadis yang Khai bawa masuk hotel dan banglo Khai beberapa hari lepas. Ini Mohammad Farid, atau Angah. Kalau dia bergabung dengan Uda tadi, Along rasa ada yang patah kot. Ini nasib dia tumbuk saja. Farid, Farid.” Kepalanya digeleng berkali-kali.
            
“Ini ayah, ini ibu. Maaf sekali lagi sebab salam perkenalan kita tak berapa manis. Maklumlah Umaira tu satu-satunya adik-beradik perempuan kami, sebab itulah abang-abang dan adik-adik dia, sangat mengambil berat hal dia.” Tangannya dihulur untuk bersalam. Khairil berbangga untuk menyambut huluran salam itu.
            
Dan kemudian Khairil menghulur tangan kepada ayah Umaira, dan Angah, boleh tak kalau Khairil nak balas tumbukkan tadi? Ishk kata sukakan Umaira, jadi kenalah ambil hati keluarga dia. Nanti dapatlah tahu di mana Umaira, alamatnya, tempat kerjanya.
            
“Sakit?” Soalan lembut dari ibu Umaira buatkan Khairil jadi terharu. Alangkah indahnya kalau mommy juga selembut ibu Umaira.
            
“Tak sakit aunty, Khai lapar..” Dia meraba perutnya.
            
“Tak makan lagi ke?” Ibu Umaira kerut dahi.
            
“Dari semalam tak makan. Bajupun tak tukar, masam dah ni.” Khairil cuba berseloroh.
            
“Dah kenapa pula tak makan?” Ayah Umaira pula yang bertanya.
            
“Mana taknya semalaman duk tunggu depan rumah sewa Umaira. Juita beritahu tadi, jiran rumah sebelah yang telefon dia sebab risau tengok sport car depan rumah tak berganjak sampai pagi. Dah jom, mesti Kak Long dah siap masak. Nak ke klinik dulu ke, Khai?”
            
“Tak per, Abang Long. Sikit jer ni.” Sikit? Dah bengkak dah bibir tu Khai, lagi nak cover line.
            
“Belum boleh panggil Abang Long lagi.” Angah Umaira di sisinya bersuara sinis. Ishk dia ni, untunglah kau tu abang ngah Umaira, kalau tak memang aku bagi kau sebiji. Boleh tahan garang juga adik-beradik lelaki Umaira. Ini baru dua, ada lagi empat yang harus dia berhadapan.
            
“Khai park kat mana tadi? Angah ikut Khai. Along terus balik rumah.”
            
“Eh, kenapa pula Angah?” Meninggi tonasi pertanyaannya. Krisis tumbuk belum hilang dah kena ikut Khairil. Boleh jadi serabut kepala.
            
“Ialah, kalau tak Angah, siapa? Tak akanlah Ayah pula? Bukan Ayah cam jalan ke rumah Along tu. Dah jangan banyak songeh, pergi dengan Khai, banyak lagi yang nak ditanya dengan Khai tu.”

            
Banyak lagi yang nak ditanya? Ada soal siasat lagi? Adumak ai, matilah macam ni. Dahlah Khairil kadang-kadang ada kekok berbahasa Malaysia. Memang dia bertutur dalam Bahasa Malaysia sepanjang tinggal dengan Aunty Mariam, cuma kadang-kadang ada perkataan English yang lebih simple untuk dia sebut.



, ,

No comments:

Post a Comment