ilashukri.blogspot.com

Wednesday 24 January 2018

[ Bab 17 ] Dia Bukan Skandal


SUDAH seminggu berlalu. Perkara yang buat Nurin Umaira sakit hati, adalah menunggu dan mengharap panggilan telefon mahupun pesanan ringkas dari Izhan. Mandinya tidak basah, makannya tidak kenyang, semuanya dek gara-gara perasaan yang bermacam-macam di dalam hati.

Inilah yang dia tidak suka. Inilah perkara yang paling dia benci. Izhan kerap menghilang. Dia mesej tak balas, dia call tak dapat, dia WhatsApp pun tidak dibaca. Sungguhlah kalau dia dikatakan ‘skandal’. Jika lelaki itu serius dengannya tentu sahaja akan bertanya khabar.

Izzuwan yang berdiri di hadapannya tidak diendahkan. Dia sekarang hanya inginkan Izhan. Dia rindukan lelaki itu, senyumannya, wajah bersihnya.

“Encik Fikri nak jumpa. Meeting at 2PM.” Dia sekadar mengangguk. Kelmarin teruk dia dimarahi Izzuwan gara-gara dia tidak fokus dengan kerjanya. Lelaki itu mungkin sudah hilang sabar dengannya. Sudahlah cintanya tidak dibalas, kebelakangan ini dia mendapat layanan kurang mesra pula dari Umaira.

Bunyi derapan kasut Izzuwan semakin menghilang, lelaki itu sudah kembali ke bilik kerjanya. Juita mencuit lengan Umaira. Dia mendekat.

“Aku dengar petang ni, CEO baru tu nak jumpa staf kat floor kita. Semalam dia round floor bawah. Aku dengar lagi, CEO baru tu hensem gila.”

Dah tak ada istilah hensem dalam kamus hidup Umaira sekarang. Baginya segalanya hanyalah Izhan atau dahulunya dipanggil Encik Mamat Muka Ketat. Dia tahu dia sangat sukakan lelaki itu, dia sangat rindukan lelaki itu.

Tok. Tok. Tok.

Bunyi ketukan di kepalanya sangat membingitkan. Dia sakit kepala, dipicit-picit pelipisnya. Tok! “Nurin Umaira!” Satu ketukan yang kuat berserta jeritan namanya seolah menendang gegendang telinga. Dia mengangkat muka.

“You ni dah kenapa? Kalau tak boleh fokus, tak payah datang kerja. Dah, Encik Fikri dah tunggu kat lobi.” Izzuwan? Argh, lelaki ini kenapa sekarang suka marah-marah. Sebab Umaira tak balas cintanya?

“Lobi?”

“Ya, Umaira sayang.”

“Bukan meeting kat sini?”

“Dah jangan banyak tanya.” Tangannya terus ditarik Izzuwan. Biar betul, dah kenapa lelaki ni sekarang? Mana perginya sikap santun yang ada padanya. Dan bagaikan patung Nurin Umaira mengikut sahaja, sempat dia menarik beg tangannya.

Kenapa tak kat meeting room sahaja?. Kenapa mesti tunggu kat lobby? Arghh Umaira tension macam ni. Macam nak hantuk kepala ke dinding. Umaira hanya mahukan Izhan sekarang ni.

Ni bukan meeting namanya. Duk berborak sahaja dari tadi, cerita bola, cerita perempuan. Ingat Umaira tunggul kayu? Mereka berbual dua orang saja, bukan ambil peduli tentang Umaira pun. Meeting kat café ni apa faedahnya agaknya. Dahlah cuma di tingkat bawah ofis.
            
Dia teraba-raba mencari handphonenya di dalam beg tangan. Ah, atas meja. Umaira hanya ambil beg tangan tapi tak ambil phone. Macam mana kalau Izhan call? WhatsApp ke?
           
“Maaf. Handphone tertinggal kat atas. Naik dululah ya, Encik Fikri, Encik Wan.” Nurin Umaira berbasa-basi. Matanya sempat menjeling ke arah Izzuwan. Hendak sahaja dia mencekik lelaki itu.
            
“I dah suruh Juita bawa turun. Dia ada WhatsApp I tadi. Tunggu sini dululah.”
            
Ah, dia tak ada alasan nak lari. Nak cakap belum solat, Umaira sedang ‘ABC’. Tapi bukannya dua orang lelaki ini tahu yang Umaira ‘bercuti’.
            
“You dah jumpa Encik Khai, Wan?”
            
Terpaksalah Nurin Umaira duduk lagi di situ mendengar perbualan yang langsung tidak ada kaitan dengan projek di Nusajaya. Namun perbualan kali ini sedikit menarik minatnya. Encik Khai, siapa tu?
            
“CEO baru tu? Sudah. Dua hari lepas semua supervisor ada perjumpaan. Rasanya dia mungkin dah habis melawat department ID hari ni.” Izzuwan menjawab malas.
            
“Hensem CEO baru tu. Tapi macam kurang peramah sikit dari Tan Sri Sufrie. Mungkin sebab dia lama dibesarkan di London.”
            
“Sebab dia hensemlah, I bawa lari Umaira ke sini. Haha! Risau kalau Encik Khai terpikat.” Tawa halus Izzuwan, senyum sinis Izzuwan, ada unsur cemburu. Hensem sangat ke CEO baru tu? Kenapa pula Izzuwan risau CEO baru, atau Encik Khai hendak terpikat dengan Umaira? Umaira tidak layak dengan lelaki berpangkat CEO.
            
“Dengarnya dia akan bertunang dengan Puteri, model terkenal anak Datok Zamri tu. Tapi berita terbaru yang tengah hangat kat JB, orang kata dia ada skandal. Ada yang nampak Encik Khai dengan perempuan bertudung kat Puteri Harbour. Puteri mana bertudung, seksi adalah.” Tawa Encik Fikri dihujung katanya berbau sinis.
            
“Hah, dah dia tu CEO, banyak duit. Dia waris lelaki tunggal billionaire, kau rasa? Setakat skandal, apalah sangat. Tak hairan. Entah-entah perempuan keliling pinggang.”
            
Nurin Umaira tak ada rasa hendak mendengar lanjut cerita mengenai CEO baru atau Encik Khai itu. Yang dia rasa sekarang ini hanyalah rindu yang sangat mendalam pada Izhan. Oh Tuhan, dia sangat perlukan lelaki itu sekarang sebagai pemangkin semangatnya.

Air tembikai disedut malas. Jarinya bermain-main dengan sudu. Kenapalah masa yang berlalu sangat perlahan. Dan kenapalah juga dia sangat bodoh mengikut Izzuwan ke mari. Dahlah tak bawa handphone sekali. Kalau bawa tadi boleh jugalah dia mesej Tasya PA Tuan Mansor suruh pura-pura panggil dia ke tingkat 10. 

, ,

No comments:

Post a Comment